Sunday, May 25, 2008

Terpedaya dengan Rangkaian Sosial Online

Myspace, tagged, friendster dan pelbagai lagi tools yang digunakan di internet bagi memudahkan hubungan komunikasi secara online di seluruh dunia. Malah ianya sudah mencapai jutaan pengujung dan keahlian yang tinggi. Tidak banyak kajian yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu tentang kesan dan akibat nyata dari sebuah laman web rangkaian sosial ini.

Seperti mana yang kita maklum, laman web rangkaian hubungan social ini dibangunkan untuk memberikan perkhidmatan kepada penggunanya untuk berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain seperti di dalam negara ataupun di luar negara, membenarkan mencari rakan dari serata dunia, bertukar-tukar maklumat dan pendapat, dan membenarkan penggunanya mengenali lebih rapat dengan dunia internet.

Namun perkhidmatan ini sekarang sudah disalahgunakan oleh kebanyakan daripada remaja kita untuk tujuan lain yang pastinya akan membawa kepada salah laku yang buruk. Antaranya melalui penyebaran gambar lucah.

Berdasarkan statistik terbaru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM), sehingga September 2007, ada 11.7 juta penduduk menggunakan internet secara langganan ‘dial-up’ manakala 1.2 juta lagi menggunakan kemudahan teknologi itu secara langganan jalur lebar.

Daripada jumlah itu, kajian mendapati 46 peratus daripada pelayar web di Malaysia melayari laman sosial seperti Friendster, MySpace®, Tagged, Xanga, Atau Facebook dan kebanyakan mereka seronok menghantar dan berkongsi profil peribadi, gambar tanpa menyedari maklumat mereka direkod pihak tertentu. Kebanyakan mereka yang gemar berkongsi maklumat dengan rakan, sama ada melalui laman web sendiri atau blog dengan mendedahkan maklumat sebenar mereka berisiko untuk dibuli atau diancam.

Pengurus Pemasaran Serantau, Perniagaan Pelanggan Symantec bagi Rantau Asia Selatan, Effendy Ibrahim berkata, berdasarkan kajian, walaupun kes serangan siber di Malaysia tidak banyak dilaporkan berbanding negara maju, pihaknya percaya apa yang berlaku di sana juga boleh berlaku di sini.

Antara kes yang berlaku di Malaysia baru-baru ini adalah kes seorang lelaki yang diugut oleh seorang wanita melalui gambar bogelnya yang dirakam sewaktu mereka berbual secara online. Tidak kira mangsanya wanita, mahupun lelaki, kes ugutan secara online ini semakin berleluasa. Mungkin statistik sebenarnya tidak dapat diperolehi kerana mangsa tidak berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan polis.

Sebenarnya, saya yakin bahawa ramai remaja kita sudah terpedaya dengan tipu helah yang digunakan oleh golongan-golongan tertentu yang menunggu mangsa di rangkaian hubungan sosal ini. Namun kerana takut dan malu untuk membuat laporan polis, maka kes ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Keseluruhan pengguna internet di Malaysia adalah remaja berusia 24 tahun ke bawah dan kanak-kanak. “Gadis remaja dan kanak-kanak adalah golongan paling berisiko menghadapi serangan itu kerana mereka dikategorikan sebagai ‘mangsa yang mudah diperdaya’ berbanding golongan dewasa yang lebih matang. Beberapa kes yang melibatkan gadis remaja dirogol dan diperdaya oleh lelaki melalui internet telah ada di Malaysia. Selain daripada itu, ugutan juga digunakan untuk memaksa mangsa mengikut kehendak mereka.

Golongan dewasa juga tidak terlepas dari menjadi sasaran mereka, terutama golongan wanita yang sudah berumur, berkerjaya dan professional. Mereka ini akan diumpan dengan pelbagai bahasa pujukan dan pujian yang akhirnya memerangkap mereka. Kebanyakan daripada mangsa golongan ini adalah wanita yang diugut setelah mempamerkan gambar bogel atau separuh bogel mereka setelah dipujuk rayu.

Sehingga Oktober tahun lalu, sebanyak 60 kes buli siber dilaporkan ke Keselamatan Siber Malaysia di bawah kategori gangguan elektronik dan kebanyakannya berlaku di sekolah menengah di sekitar Lembah Klang. Jumlah yang rendah ini bukan bermakna tidak banyak kes buli berlaku, tetapi kebanyakan mangsa ‘malas’ untuk menghebohkannya dan menganggap ia tidak perlu dilayan.

Mengikut Seksyen 223, Akta Komunikasi Dan Multimedia, sebarang komen, permintaan, cadangan atau setiap komunikasi yang kedengaran lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau serangan dengan niat untuk menjengkelkan, memaki, mengancam atau mengacau orang yang lain dianggap suatu kesalahan. Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

1 comments:

ARIFFAIZAL BIN MOHD NOR ARIFFIN said...

Salam. Dengar macam menakutkan apabila diri ini dipantau. Jika kerajaan boleh memantau setiap rakyatnya, sejauh mana yang mampu dipantau dan sebesar mana komitment yang ada untuk memantau?

Sebesar mana atau sebebat mana yang kita dapat bayangkan, sebenarnya ada kuasa yang jauh lebih hebat yang boleh memantau kita malah hingga ke dalam hati juga boleh diketahui.

Di sini kita akan rasa insaf betapa besarnya kuasa Allah memantau kita sejak dari dilahirkan tidak mengira di mana negara pun kita berada. Yang pasti, sudah tentu kita akan rasa takut untuk melakukan dosa.