Setiap manusia pasti ada kenangan pahit dan manis dalam hidupnya, tidak terkecuali diri saya sendiri. Tapi di sini bukan kenangan manis yang ingin diceritakan tetapi kenangan pahit yang merupakan satu petunjuk daripada Allah.
Apabila berkeluarga, pasti kita meletakkan kepentingan keluarga adalah segala-galanya dalam diri kita. 8 tahun yang lalu, ketika bersama keluarga, rumah saya dimasuki perompok seramai 4 orang yang memegang parang panjang dan pisau. Anak saya dijadikan sasarannya yang pertama di mana pisau diletakkan dileher anak yang berumur 7 tahun. Suami cuba melawan, tetapi ditumbuk, terajang, dihentak kepala dengan pisau dan diikat. Pada ketika itu keselamatan keluarga adalah paling utama. Harta bukan keutamaan, maka apa saja yang ada ketika itu saya berikan asal jangan mencederakan orang yang sangat saya kasihi. Ketika itu saya masih dalam pantang 40 hari melahirkan anak yang keempat.
Kesan peristiwa itu, saya mengalami trauma, saya menjadi pendendam, dalam hati saya, pasti saya akan heret mereka ke muka pengadilan, bukan kerana harta tetapi kerana apa yang mereka lakukan pada suami dan anak-anak. Sepanjang masa saya duduk ditikar sembahyang dan berdoa agar mereka yang menganiayai saya menerima pembalasannya. Hampir sebulan saya trauma dan hanya berdoa sepanjang masa sambil menanggis di depan tikar sembahyang.
Sehingga satu hari, datang seorang sahabat baik saya melawat. Sambil menanggis saya mengeluh dan menceritakan perasaan saya ketika itu. Suatu perkara yang saya tidak sangka keluar daripada mulutnya ialah “ Apa yang engkau doakan?’ saya menjawab “ Saya mohon kepada Allah supaya dia menerima balasannya di dunia ini juga di depan mata saya.” Dan dia menjawab “ Terimalah kejadian ini sebagai satu qada dan qadar, buangkan perasaan dendam dalam diri, dan tukar cara berdoa.” Saya agak hairan dengan kata-katanya itu dan berkata “ Kan Allah menyatakan bahawa doa orang yang teraniayai akan dimakbulkan, adakah salah saya berdoa sedemikian?” lalu dia menjawab “ Salah kerana doa anda penuh dengan sifat dendam, marah dan benci, kita tidak boleh mengadap Allah dengan adanya sifat dendam, marah dan benci sesama manusia. Doalah untuk kesejahteraannya.” Saya agak marah dan menjawab “ Kenapa saya perlu doakan kesejahteraannya, sedang apa yang dia lakukan kepada saya tidak boleh dimaafkan.” Lalu ia berkata “ Jika setiap manusia boleh membuang perasaan dendam, marah dan benci dalam diri maka hidupnya dipenuhi dengan kenikmatan dan rahmat Allah. Percayalah dengan kata-kata saya, tukar doa anda dengan mendoakan kesejahteraannya, mendoakan agar dia berubah, kembali ke jalan Allah. Itulah sebaik-baiknya doa yang cepat dimakbulkan Allah daripada mendoakan keburukan dan kecelakaan kepada orang lain.”
Hampir seminggu saya memikirkan kata-katanya itu. Susah untuk saya mengubah doa untuk orang yang telah menganiayai saya. Mendoakan kesejahteraan untuk orang yang menganiayai saya ?Tak mungkin. Tapi itulah akhirnya saya lakukan. Sambil menanggis saya memohon ampun kepada Allah, Ya Allah saya telah tersimpang jauh kerana mendoakan kecelakaan pada manusia lain. Akibat marah, dendam dan benci menjadikan saya buta.
Pesan sahabat baik saya “ Berdoa bukan untuk kepentingan peribadi, berdoalah untuk kepentingan dan manfaat kepada semua insan di dunia ini. Berdoa bukan meminta keburukan, berdoa meminta kebaikan, agar bumi ini selesa di duduki oleh semua manusia dalam keadaan aman dan damai.” |
2 comments:
Hmmm, insaf rasanya apabila membaca artikel ini. Banyak menyedarkan diri saya dari sifat dendam dan marah. Satu pengajaran yang amat berguna. Semua orang harus membacanya. Saya juga ada sifat dendam dan marah kepada beberapa orang yang meminjam duit saya bertahun lamanya hingga sekarang ini belum lagi membayar balik duit saya itu. Hampir ribuan ringgit jumlahnya. Apa yang telah saya lakukan setiap kali selepas solat 5 waktu dan disusuli solat hajat pada malam harinya ialah memohon doa Allah agar melembutkan hati mereka2 itu supaya segera memulangkan duit saya semula...namun hampa...atau, mungkin ada hikmah di sebaliknya? Hanya Allah saja yang tahu...
Amat bermakna. Rida, doakan semoga rezeki mereka dilimpahkan, mana tahu sebahagiannya adalah untuk kamu. Allah jua yang Maha Mengetahui.
Post a Comment