Monday, December 3, 2007

4 Asas Akhlak Mulia

Salah satu perkembangan masyarakat Islam belakangan ini adalah kecenderungan meninggalkan akhlak ketika berhadapan dengan delima etika sosial yang semakin rakus melanda manusia kini. Peredaran zaman yang semakin menekankan kepada materialistik, individualistik dan konsep egoisma semakin menjadi tunjang utama paksi manusia dalam menentukan matlamat hidup mereka. Malah ianya telah semakin jauh terpesong hingga mampu meruntuhkan umat manusia keseluruhannya. Peranan akhlak tidak lagi dipandang sebagai asas dalam pembangunan insan. Dan ianya nyata sekali telah ditinggalkan jauh ditenggelami arus perubahan dan ledakan duniawi yang melekakan hati, membutakan mata, mentulikan telinga.

Amat sedih sekali melihat masyarakat kita yang semakin jauh meninggalkan ajaran agama, agama hanya sebagai satu koleksi kitab semata-mata, dibuka dan dibaca untuk tujuan terselindung dan meraih nama, pengiktirafan dan anugerah. Di sekolah ajaran agama meletakkan tujuan utama untuk lulus periksa, mendapat gred yang baik, dan memperolehi kerjaya yang selesa. Hanya mereka yang sedar siapa diri mereka, akan berpaksikan agama sebagai panduan kehidupan sempurna.

Apabila agama dan akhlak hanya hiasan duniawi semata-mata, maka runtuhnya bangsa bak runtuhnya tamadun manusia. Sedangkan akhlak dan agama tidak dapat dipisahkan dalam mencipta satu tamadun bangsa yang sempurna. Ingatlah bahawa Rasuluallah diutuskan ke muka bumi ini untuk membimbing manusia. Bersabda Rasulullah s.a.w. “Sebenarnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.” Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi: “Agama itu adalah kemuliaan budi pekerti”. Kemudian Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Apakah kecelakaan itu? Baginda menjawab: Kecelakaan itu ialah kejelekan budi pekerti.


Akhlak memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Ianya merupakan segala perbuatan dan tingkah laku yang membentuk peribadi dan personaliti setiap manusia. Bagi mereka yang memerhati keseluruhan manusia akhlak ini menjadikan dirinya benar-benar seorang manusia. Perjalanan sebagai manusia ditentukan oleh akhlaknya. Dalam menilai manusia ahklak inilah yang diperakui. Dan sekarang ini, akhlak inilah yang telah dilupakan oleh masyarakat dalam menangani permasalahan sosial dan apa juga permasalahan dalam dunia ini. Ketidak upayaan mereka dalam mengamalkan akhlak yang baik nampaknya merosakkan tamadun manusia.
Bagaimana ingin membangunkan akhlak yang baik. Biarlah kita bermula dengan diri kita sendiri. Asas akhlak yang mulia bertunjangkan kepada 4 paksi utama iaitu Hikmah atau kebijaksanaan, Syaja’ah atau keberanian, Iffah atau kebersihan jiwa dan Adl atau keadilan.

Yang dimaksudkan dengan kebijaksanaan ialah suatu keadaan dalam diri yang mana menerusinya ia dapat membezakan yang benar dari yang salah dalam semua hal-ehwal ikhtiariah (perbuatan pilihan diri sendiri).

Yang dimaksudkan dengan keberanian, ialah bahawa keadaan marah yang sedang meluap-luap itu dapat dituntun oleh akal untuk terus memajukan keberanian itu ataupun menahannya dari berlaku.

Yang dimaksudkan dengan kebersihan jiwa, ialah menahan kemahuan syahwat dengan mendidiknya supaya tunduk kepada petunjuk akal dan syara’.

Yang dimaksudkan dengan keadilan, ialah suatu kekuatan dalam jiwa yang dapat mengatasi sifat marah dan kemahuan syahwat, lalu membimbing keduanya ke arah kebijaksanaan, serta menentukan bila masanya boleh diikutkan, dan bila pula harus dikekang dari berlaku menurut hal dan keadaan yang dihadapinya.


Dengan menegakkan keempat-empat sifat yang tersebut di atas tadi, barulah dapat dilengkapi diri dengan semua akhlak dan budi pekerti yang indah.

0 comments: